Mungkin ramai di antara anda yang tidak mengikuti perkembangan drama bersiri TV3 setiap 6:30 petang yang bertajuk Bella. Saya juga bukan seorang yang kaki menonton televisyen. Namun, setiap pukul 6:30 saya ingin menonton perkembangan cerita Bella. Sebagai seorang penulis , saya mengkagumi jalan cerita dan skrip tersebut yang berjaya menakluk hati saya untuk menonton perkembangan cerita itu setiap kali ia ke udara.
Namun, setiap kali kita menonton sesebuah cerita, pengajaran dari cerita tersebut adalah isi yang paling penting yang akan berterusan tersemat di dalam ingatan. Pengajaran adalah wisdom kehidupan yang sepatutnya kita telan dan seterusnya menjadikan kita bertambah matang dalam menjalani kehidupan seharian.
Cerita tersebut mencapai klimak apabila Bella yang telah ditembak dan dibakar akhirnya bangkit semula membalas dendam setelah menukar membaiki wajah dan tubuhnya dengan pembedahan plastik.
“Aku nak kau orang semua rasa apa yang aku rasa!”
“Masa kau bakar aku dulu, ada pernah kau kesiankan aku?” Ada???”
“Sekarang rasakan! Kau tak percaya pada Hukum Karma? Kalau kita buat jahat kita akan dibalas dengan kejahatan….”Hahahahahahaaha
“Sekarang baru puas hati aku! Aku puas!!!!”
Setelah melihat lakonan tersebut, fikiran saya terlintas pada kawan saya yang pernah teraniaya dipukul dengan helmet motor, ditumbuk dengan kuat sehingga pengsan. Setelah kesemua penjenayah tersebut dimasukkan ke dalam lokap, dia berkata pada polis.
“Boleh tak saya nak masuk dalam lokap dan belasah mereka semua, seperti mana yang mereka buat pada saya, selepas itu saya tidak kisah apa yang akan terjadi pada saya, hati masih lagi tidak puas!” katanya dengan penuh perasaan.
Namun begitu, dia tidak dapat membuat seperti mana yang Bella dapat balas pada orang yang pernah menganiaya dirinya suatu masa dahulu. Hatinya masih lagi tidak puas, selagi penjenayah itu tidak pernah merasa apa yang dia pernah rasa sekita dahulu.
Walaupun saya tidak pernah merasai pengalaman yang amat pahit sepanjang hidup saya, saya mungkin dapat menyelami dan memahami hati seseorang yang pernah dianiya dengan menonton lakonan cerita yang lebih kurang sama.
Kita boleh membuat kesimpulan, Hukum Karma adalah berkaitan dengan hati dan perasaan yang akan terus berjangkitan selagi kita tidak memaafkan. Sekiranya kita berdendam, kita akan bertemu dengan orang yang akan mendendami kita, sekirannya kita benci dan marah pada seseorang, kita akan bertemu dengan orang yang akan benci dan marah pada diri kita.
Kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, kejahatan akan dibalas dengan kejahatan.
No comments:
Post a Comment